Majlis Jalinan Mesra Murid-murid Tahun 6 merupakan program tahunan bagi memberi peluang kepada pihak sekolah memberi penerangan kepada ibu bapa mengenai program-program dan aktiviti yang bakal dijalankan khusus untuk murid-murid Tahun 6 yang bakal menamatkan alam persekolahan sekolah rendah tahun ini. Pelbagai program telah dirancang bagi meningkatkan kualiti murid dalam bidang kurikulum dan kokurikulum. Program bermula pukul 9.00 pagi.
Agenda dimulakan dengan bacaan doa oleh Ust Hishamuddin dan seterusnya ucapan Tuan Guru Besar, En Mohd Sadli Bin Harun. Dalam ucapan beliau, En Sadli menekankan kecemerlangan murid perlu secara holistik, tidak tertumpu kepada kecemerlangan kurikulum semata-mata. Setiap murid mempunyai potensi yang berbeza dan perlu diberi peluang untuk menyerlahkan bakat masing-masing. Disebabkan itulah, KPM memperkenalkan PPSR (Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah) pada tahun 2018 yang merangkumi 4 komponen utama iaitu PBD (Pentaksiran Bilik Darjah), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pelaporan PPsi (Psikometrik) dan UPSR (Ujian Pencapaian Sek Ren).
Seterusnya, Puan Azizah (GPK Tadbir dan Kurikulum) membentangkan analisa pencapaian UPSR 2019 dan perancangan aktiviti yang bakal dijalankan untuk murid-murid Tahun 6. Pn Farina (GPK Kokurikulum) meneruskan agenda dengan memberi taklimat mengenai PAJSK.
Sebelum program tamat, ibu bapa diberi peluang untuk mengemukakan soalan kepada pihak sekolah. Soalan yang diajukan banyak tertumpu kepada PAJSK. Program berakhir pada pukul 11.00 pagi.
Syabas dan tahniah kepada semua ibu bapa yang dapat menghadirkan diri dalam program ini demi kecemerlangan anak-anak. Layari laman Facebook rasmi sekolah untuk melihat gambar-gambar sekitar majlis.

